Penyusuan bayi begitu sempurna apabila bayi mendakap erat ibu dan bibirnya rapat dengan puting payudara ibu sehinggalah aktiviti menyusu berjalan dengan penuh kemesraan.
Wanita sudah terdedah kepada penyusuan ibu sejak kecil, justeru, apabila menjadi ibu, ia tidak janggal." Dr Faridah Idris, Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM
Justeru itu, sempena minggu penyusuan susu ibu sedunia pada 1 hingga 7 Ogos lalu yang memetik tema Sokongan Penyusuan Susu Ibu: Dampingi Ibu, begitu baik diterapkan dalam kalangan insan yang berada dekat dengan si ibu sebagai tanda sokongan.
Memahami penyusuan ibu secara semula jadi, ia adalah kaedah terbaik memastikan bayi anda memperoleh zat yang diperlukan. Susu ibu amat tinggi khasiatnya dengan kandungan protein mudah hadam dan komponen pertahanan badan semula jadi yang melindungi bayi daripada ancaman penyakit.
Kolostrum, susu yang dihasilkan sewaktu kelahiran atau susu awal bayi bukan saja padat dengan zat, malah kaya dengan antibodi yang berupaya melindungi bayi daripada ancaman bakteria dan virus pembawa penyakit.
Kajian menunjukkan penyusuan susu ibu berupaya mengekalkan tahap kesihatan kanak- kanak sehingga dewasa. Individu yang membesar dengan penyusuan susu ibu didapati mempunyai tekanan darah yang terkawal dan rendah paras kolesterol. Mereka juga didapati kurang mengalami masalah berat badan berlebihan serta Diabetes Mellitus jenis 2.
Beberapa data mengesyorkan individu yang diberi susu ibu menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam ujian kecerdasan minda. Penyusuan susu ibu adalah benar-benar menjimatkan kos bahkan adalah zat pemakanan yang unggul untuk anak.
Oleh itu, penyusuan susu ibu seharusnya diterapkan sebagai langkah pertama ke arah usaha mengurangkan permasalahan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak
serata dunia.
Kurang sokongan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun dapat dikurangkan antara 13 hingga 20 peratus sekiranya penyusuan susu ibu diamalkan secara eksklusif iaitu tiada makanan atau minuman tambahan, puting dan sebagainya) untuk tempoh enam bulan pertama dan diteruskan sehingga ke usia dua tahun atau lebih. Amalan penyusuan susu ibu eksklusif sebegini kemudian diikuti dengan pengenalan makanan tambahan bermula dari usia enam bulan.
Di Malaysia, kesedaran memberikan susu ibu semakin meningkat. Wanita menerima konsep penyusuan susu ibu selepas menyedari mengenai pelbagai manfaat.
Cuma, sokongan daripada pelbagai pihak dan agensi masih kurang manakala sebilangan ibu menyusukan secara eksklusif pada tiga bulan pertama gagal meneruskan amalan terbabit apabila mereka kembali bekerja.
Sistem sokongan terhadap amalan penyusuan susu ibu secara berterusan boleh didapati dalam pelbagai kaedah. Sama ada secara tradisional iaitu melalui ahli keluarga atau kaedah lebih moden iaitu melalui kakitangan kesihatan terlatih, pakar perunding laktasi, ketua komuniti dan rakan.
Kunci kepada kejayaan amalan penyusuan susu ibu adalah memastikan wujudnya sistem sokongan secara berterusan khususnya dalam lingkungan kediaman dan komuniti mereka.
Dalam usaha untuk mempromosikan penyusuan susu ibu secara menyeluruh, Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia sebagai wadah kumpulan atau pertubuhan di serata dunia untuk meningkatkan kesedaran umum dan mendapatkan sokongan aktiviti terbabit.
Sokongan lain seperti perkhidmatan penjagaan bayi yang mesra penyusuan susu ibu, majikan yang menyediakan kemudahan untuk ibu menyusu dan kumpulan sokongan dalam masyarakat juga kritikal untuk memastikan ibu dapat mencapai impian penyusuan masing-masing.
Di peringkat keluarga, semua ahli keluarga terdekat termasuk suami, ibu dan ibu mentua adalah sistem sokongan yang diperlukan untuk ibu menyusu.
Sokongan pelbagai pihak bantu tingkatkan kesedaran
Kerjasama pelbagai pihak bermula daripada penggubal polisi negara, institusi kesihatan, staf dan pengamal kesihatan, majikan, masyarakat dan keluarga sepatutnya digerakkan untuk memastikan penyusuan susu eksklusif ibu diamalkan secara meluas.
Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Faridah Idris, berkata polisi penyusuan yang digariskan oleh Badan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan menggalakkan semua ibu menyusui bayinya dengan susu ibu saja dari lahir hingga berumur enam bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur dua tahun.
Katanya, dengan adanya polisi di peringkat tertinggi negara bagi mempromosi, menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu, usaha serta strategi dapat direalisasikan.
“Pada abad ini hampir semua wanita bersalin di hospital. Peranan hospital membantu memberi ibu pengalaman yang positif. Hospital Rakan Bayi boleh meningkatkan kadar memulakan penyusuan ibu di hospital.
“Pihak hospital wajar meneruskan kesinambungan memberi sokongan kepada ibu selepas keluar dari hospital termasuk menggalakkan persediaan terancang menyimpan stok susu perahan sebelum kembali bertugas.
“Perahan susu disimpan rapi, dilabel tarikh dan waktu perahan dan ditempatkan secara teratur dalam peti dingin beku. Andai kata ini dilakukan secara teratur dan konsisten, EBM akan dapat dikumpulkan secukupnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia, digalakkan menyimpan EBM dua minggu sebelum mula bertugas. Menyusu badan boleh dilakukan seperti biasa untuk memastikan aliran susu berjalan lancar dan konsisten.
Jika ada masalah, ibu boleh merujuk kepada garis panduan disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia atau Academy of Breastfeeding Medicine.
Kualiti susu
Sekiranya penyimpanan EBM berkompromi, anda akan dapat mengesan perubahan pada EBM terbabit iaitu perubahan ketara dari segi warna, bau juga rasa. Namun demikian, adalah diketahui bahawa EBM yang disimpan berkemungkinan mengalami sedikit perubahan bau serta rasanya akibat daripada tindakan enzim lipase, iaitu enzim yang mengurai komponen asid lemak bagi membantu proses penghadaman susu ibu.
“Tindakan enzim ini amat bermanfaat untuk bayi pramatang. Oleh itu,
jika berubah rasa dan bau akibat tindakan enzim lipase, EBM anda masih selamat dan tidak memudaratkan si manja. Meskipun demikian, terdapat juga bayi yang tidak mahu minum EBM terbabit. Fungsi enzim lipase yang penting ini akan ternyah andai kata EBM dipanaskan ke suhu melebihi 40 °C, maka amalan sebegini tidak digalakkan.
“Berbekalkan maklumat ini, bagi ibu yang menyimpan stok EBM perlu meneliti keadaan EBM mereka. Andainya perubahan ketara berlaku dari segi warna, bau atau rasa, mungkin penyimpanan EBM berkompromi dan tidak wajar diberi kepada bayi. Jangan gusar, ibu boleh juga merujuk bantuan pakar dan kaunselor laktasi mengenai kualiti susu yang diperah,” katanya.
“Saya berharap penyusuan ibu menjadi normal dalam masyarakat. Wanita sudah terdedah kepada penyusuan ibu sejak kecil, justeru apabila mereka menjadi ibu, ia bukan sesuatu yang janggal.
Rakan pembimbing
Rakan pembimbing ini biasanya adalah wanita dalam komuniti yang sudah diberi latihan untuk menyokong penyusuan ibu. Mereka bergerak dalam komuniti masing-masing dan membantu ibu menyusu sama ada secara bersemuka di rumah ibu atau hospital, memberi sokongan di alam maya, melalui panggilan telefon atau mengadakan perjumpaan kumpulan sokongan.
Kajian mendapati sokongan akan pembimbing mampu meningkatkan tempoh penyusuan ibu di sesuatu komuniti.
INFO: Faedah Susu Ibu
1) Kajian menunjukkan bayi diberikan susu ibu mempunyai risiko obesiti yang rendah berbanding kanak-kanak yang diberi susu formula.
2) Risiko penyakit kronik ibu yang tidak menyusukan bayi adalah 30 hingga 200 peratus lebih tinggi berbanding ibu menyusukan bayi mereka.
3) Keadaan ini menyebabkan berlaku peningkatan dramatik penyakit kencing manis dan lain- lain dan menambah kos penjagaan kesihatan individu dan negara.
4) Manfaat kepada ibu termasuk cepat pulih selepas bersalin, membantu mengurangkan berat badan, kurang risiko terhadap osteoporosis serta kanser ovari dan payudara.
5) Pelbagai kajian menjelaskan penyusuan susu ibu memberi manfaat jangka panjang, termasuk meningkatkan pencapaian intelek, perlindungan terhadap tekanan darah tinggi, menurunkan paras kolesterol darah serta mengurangkan kejadian diabetes mellitus dan obesiti ketika dewasa.